Duit tabung.

Khamis, Januari 27, 2011

Batu permata penawar pelbagai penyakit???

JUTAAN tahun lalu, batu permata telah menarik minat manusia kerana kecantikan dan misteri di sebaliknya. Sejak itu, batu-batu permata menjadi simbol kekayaan, kuasa dan cinta selain ia dikaitkan dengan zodiak.

Pada zaman purba, batu permata dipakai sebagai azimat dan tangkal untuk melindungi diri daripada kuasa-kuasa jahat dan syaitan, memelihara kesihatan malah, menjauhkan diri daripada wabak penyakit.

Terdapat tiga cara batu permata digunakan iaitu dengan meletakkan batu permata pada bahagian tubuh yang sakit, memakan batu permata yang telah menjadi serbuk dan kehadiran batu permata tersebut sahaja sudah mencukupi untuk mengubati penyakit.

Sehingga kini, terdapat segelintir masyarakat menggunakan batu permata sebagai ubat untuk mengubati penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, insomnia, gemuruh, melancarkan perjalanan darah, resdung, darah tinggi, sakit sendi dan banyak lagi.

Boleh dikatakan semua batu permata mempunyai khasiat yang tersendiri.

Terdapat pelbagai jenis batu permata antaranya delima, jed, zamrud, nilam, topaz, intan, lapis lazuli, turqouise, mutiara, krisoberil, turmalin, akuamarin, baiduri, akik, ametis, mata harimau, hematit, sitrin dan banyak lagi.

Penjualan batu-batu permata itu dipelbagaikan dalam bentuk gelang, rantai tangan, loket, batu cincin, pokok hiasan dan sebagainya.

Kini sudah menjadi trend apabila semakin ramai orang memilih batu permata sebagai gelang tangan, rantai tangan dan loket sebagai aksesori serta untuk tujuan kesihatan.

Persoalannya, benarkah batu-batu permata yang banyak dijual dalam pelbagai bentuk itu boleh mempengaruhi kesihatan seseorang atau ia sekadar mitos yang diwarisi turun-temurun?

Aura dalaman

Kurator Muzium Alam Semulajadi, Putrajaya, Degor Johia, memberitahu, kesihatan tubuh badan manusia banyak dipengaruhi oleh diet pemakanan dan pengambilan makanan tambahan dalam bentuk vitamin atau zat galian yang diperlukan oleh sistem badan.

“Batu-batuan yang dijual dengan kepercayaan bahawa ia mampu merawat, mengawal dan membantu meningkatkan kesihatan badan setakat ini masih belum dapat dibuktikan kesahihannya.

“Ia bergantung kepada si pemakai kerana setiap orang mempunyai ‘aura dalaman’ berbeza, sama seperti sistem ketahanan antibodi dalam badan manusia,” katanya.

Katanya, kajian saintifik pernah dilakukan berhubung perkara tersebut, walaubagaimanapun para saintis setakat ini masih belum lagi menemui jawapan yang konklusif.

“Memang terdapat unsur elektromagnet di dalam batuan. Lebih tinggi kandungan mineral berlogamnya, maka lebih tinggi gelombang elektromagnet yang terhasil.

“Selain itu, batuan juga mengandungi unsur radioaktif iaitu peratusan kandungannya bergantung kepada bagaimana dan di mana batuan itu terbentuk,” ujarnya.

Sebagai contoh katanya, batu akik, flourit, kalsit dan obsidian untuk sakit belakang, batu garnet, jasper, dolomite dan karang putih untuk penyakit alahan atau alergi manakala batu delima, garnet dan aventurin hijau untuk masalah kesuburan.

Contoh di atas hanyalah sebahagian kecil daripada batu-batuan yang digunakan dalam bidang rawatan alternatif kerana Degor memberitahu, ia hanyalah sebahagian daripada ikhtiar untuk mengubati penyakit.

Bagaimanapun ia tidak semestinya berkesan 100 peratus.

“Keunikan batu-batuan bergantung kepada mineral pembentukannya. Sekiranya kandungan besinya tinggi, batu yang terhasil akan berwarna kemerahan atau jingga karat dan kebiasaannya lebih berat daripada batu-batu biasa.

“Teknologi moden telah berjaya menghasilkan batu permata sintetik dan tiruan yang amat halus buatannya sehingga hampir menyamai batu permata asli,” jelasnya.

Tambahnya amat sukar membezakan di antara batu asli dan tiruan dengan mata kasar kecuali menggunakan alat makmal gemologi iaitu Infrared Spectroscopy yang mampu mengenal pasti kandungan mineral asli dan tiruan di dalam batu permata yang diuji.

Namun, untuk memiliki batu-batu permata itu, seseorang perlu melabur wang yang banyak kerana harganya tidaklah murah.

Sumber : Kosmo 27/1/2011




1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...